BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
membaca suku kata
Panduan Menjawab Soalan Pemahaman

Tuesday, 1 November 2011

Tajuk : Didik anak Melayu cintai bahasa ibunda
  
MEMANG janggal bunyinya apabila orang Melayu pelat bercakap Melayu. Jika
'pelat' itu bagi warga asing mungkin boleh diterima dan tidak terlalu
janggal. Maka kecaman terhadap pelakon muda seperti Sharifah Amani
biarpun pedas harus dijadikan iktibar.
  Hal ini kerana apa yang dilakukan menunjukkan yang beliau kini amat
mahir dengan bahasa Inggeris hingga terlupa dan tidak dapat bercakap
dengan baik dalam bahasa ibunda sendiri.
  Apakah kita harus melihat lebih ramai generasi muda akan datang akan
terus lupa dan menjadi seperti beliau?
  Sesuatu perlu dilakukan mulai sekarang. Hasrat untuk memperkasakan
bahasa seperti yang diilhamkan oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian
Kebudayaan, Kesenian dan Warisan baru-baru ini pasti akan menemui jalan
buntu sekiranya langkah drastik tidak diambil mulai sekarang untuk
kembali memartabatkan bahasa Melayu itu sendiri sebagai bahasa utama
dalam kehidupan rakyat Malaysia.
  Jika mentaliti kini masih beranggapan bahawa hanya bahasa Inggeris
boleh membawa kemajuan sesuatu bangsa itu, maka akan punah jati diri
bangsa itu sendiri sebenarnya. Marilah kita kembali pada hakikat sebenar
dan berpijak di bumi nyata bahawa bahasa Melayu sememangnya kini semakin
terpinggir dek arus pembangunan.
  Sia-sia saja perjuangan yang dibuat oleh pahlawan Melayu terdahulu
seperti Hang TuahMat Kilau, Tok Gajah, Datuk BahamanTok Janggut dan
ramai lagi. Bak kata pahlawan Hang Tuah 'Tak Melayu Hilang Di Dunia'.
  Namun kini, sikit demi sedikit budaya Melayu terhakis, tanah orang
Melayu tergadai, bangsa Melayu tercemar dan kini bahasa Melayu bakal
hilang ditelan dek zaman. Apa yang tinggal hanyalah Keretapi Tanah
Melayu, sejak dulu hingga kini masih kekal selama-lamanya. Apakah kita
sedar akan perkara ini, atau sengaja buat tidak sedar hanya kerana
memikirkan periuk nasi kita?
  Bangkitlah wahai umat Melayu, kejadian yang berlaku kepada Sharifah
Amani dalam FFM19 sebenarnya harus membuka mata semua pejuang Melayu dan
kerajaan agar kembali mendidik minda dan jiwa anak kita hari ini dengan
nilai kemelayuan termasuklah memartabatkan semula bahasa Melayu.
  Marilah kita bersama-sama memperjuangkan serta memartabatkan kembali
bahasa Melayu dalam pentadbiran, pendidikan dan urusan seharian kita.
  CUCU MAT KILAU,
  Kuantan, Pahang.

Sumber: Berita Harian 
Tarikh  : 17/08/2006  Halaman : 15

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...